Thursday, 4 May 2017

DIABETES DAN MASALAH LEMAH SYAHWAT



Semakin seseorang lelaki meningkat usia masalah lemah syahwat menjadi satu isu yang nyata dan amat lumrah. Ianya boleh berlaku kepada kedua-dua lelaki dan wanita tetapi lebih ketara dikalangan kaum lelaki. Puncanya bukanlah semata-mata kerana faktor umur seseorang. Ia nya berkait rapat dengan masalah kesihatan dalaman secara umum serta gaya hidup yang tidak sihat

Bagi lelaki ianya akan menjejaskan keegoan dan sifat kelelakian dan selalunya lelaki tidak akan mengakui masalah ini secara terbuka. Kebanyakan orang akan mengambil kaedah rawatan secara herba atau tradisional kerana tidak mahu atau malu untuk berbincang dengan doktor mereka

Terdapat pelbagai punca kepada masalah ini, diantaranya adalah penyakit diabetis, darah tinggi, sakit jantung, paras hormon testosteron rendah, kegemukan, merokok dan stress. Masalah saluran darah menjadi keras atau atherosklerosis akan menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan akan menganggu kelancaran perjalanan darah ke alat kelamin. Penurunan paras hormon testosteron akan mengganggu dari aspek psikoloji dan mood. Manakala kerosakan saraf akan menganggu ransangan kepada alat kelamin.



Diabetis adalah penyakit yang menjadi punca kepada masalah lemah syahwat yang utama. Kajian sains menunjukkan, 60-65% pesakit diabetis lelaki mempunyai masalah mati pucuk iaitu masalah mencapai ketegangan zakar atau masalah tidak mampu mengekalkan ketegangan zakar. Pengidap diabetis akan mendapat masalah saluran darah ‘keras’atau atherosclerosis dengan lebih awal yang menyebabkan pengaliran darah kepada alat kelamin akan terganggu. Pesakit diabetis juga mendapat kerosakan saraf (nephropathy) zakar akibat glukosa dalam darah tinggi. Masalah ini juga diburukkan lagi akibat masalah stress atau tekanan akibat rasa rendah diri atau rasa takut zakar tidak cukup keras

Kerosakan saraf akibat kencing manis berlaku kerana paras glukosa yang tidak dikawal dan juga kerana saluran darah halus yang rosak (microangiopathy) menyebabkan saraf tidak mendapat bekalan oksigen dan nutrien yang secukupnya. Akibat kerosakan saraf ini maka isyarat dari otak gagal sampai ke zakar yang menyebabkan ianya tidak menegang apabila berlaku stimulasi seksual.


Saluran darah yang sempit kerana atherosclerosis menyebabkan aliran darah yang lemah dan kurang untuk menegangkan zakar dan mengekalkan ketegangan zakar dengan lebih lama. Kajian mendapati, pesakit diabetis lebih mudah mendapat masalah atherosclerosis berbanding orang biasa. Kebiasaannya , pengidap diabetis juga mempunyai masalah tekanan darah tinggi yang menambahkan lagi penyempitan saluran darah pada zakar.


Terdapat juga beberapa jenis ubat darah tinggi, ubat anti kolesterol dan ubat diabetis yang mempunyai kesan sampingan yang menyebabkan masalah lemah syahwat ini. Merokok akan memburukkan lagi masalah ini kerana rokok juga adalah punca kepada masalah saluran darah menjadi sempit dan menganggu kelancaran perjalanan darah ke alat kelamin. Masalah kegemukan juga berkait rapat dengan pengidap diabetis dan kegemukan yang melampau juga menyebabkan zakar tidak berfungsi dengan baik.

Kajian juga menunjukkan nafsu syahwat menurun kerana paras hormon testosteron dan hormon tumbesaran (Growth Hormones) dikalangan pesakit lelaki yang mengidap diabetis adalah rendah kerana paras insulin yang tinggi. Oleh kerana itu, kebanyakan pengidap diabetis mempunyai masalah kegemukan, perut buncit, kurang bertenaga, kurang bersemangat, otot mengecut dan lemah yang merupakan tanda luaran kekurangan hormon testosteron ini. Menurunkan berat badan , pemakanan yang baik, pengawalan gula yang lebih baik dan bersenam dengan lebih kerap akan membantu meningkatkan paras hormon ini. Terdapat juga rawatan gantian hormon testosteron untuk membantu masalah ini dan anda perlu berjumpa doktor untuk membantu anda mendapatkan rawatan ini.


Pengidap diabetis yang tidak mengambil rawatan dengan betul dan mempunyai masalah glukosa darah yang tidak terkawal juga mengalami kekurangan bahan ‘nitrik oksida’ yang membantu dalam proses ereksi zakar. Pengambilan madu juga didapati boleh meningkat paras ‘nitrik oksida’ yang membantu mengatasi masalah mati pucuk ini. Berhenti mengambil ‘gula putih’ amat penting untuk mengawal diabetis. Paras glukosa darah yang tinggi juga mengurangkan nafsu syahwat atau libido. Mengawal paras gula dengan lebih baik dengan mengikut nasihat doktor maka masalah ini boleh di kurangkan kerana paras gula yang terkawal akan memulihkan nafsu syahwat dengan lebih baik.

Rawatan dengan ubat-ubatan boleh diberi oleh doktor dengan ubat seperti sildenafil, taladafil danvardenafil juga boleh membantu mengatasi masalah mati pucuk dikalangan pesakit diabetis. Oleh kerana itu dapatkanlah rawatan dengan doktor yang bertauliah jika anda pesakit diabetis yang menghadapi masalah ini.


Masalah mati pucuk ini sangat kerap berlaku dikalangan pengidap diabetis 10 ke 15 tahun lebih dahulu berbanding lelaki yang tiada penyakit diabetis tetapi kebanyakan pesakit menyembunyikannya atau mendapatkan rawatan tradisional seperti mengurut atau mengambil pelbagai ubat herba. Terdapat juga kajian yang menunjukkan herba seperti tongkat ali, ginseng, ginko biloba didapati boleh melancarkan perjalanan darah dan membantu masalah ini. Walaubagaimanapun, faktor yang paling penting adalah mengubah gaya hidup kepada gaya hidup yang lebih sihat dengan makan secara sihat, mengawal paras glukosa, mengawal paras kolesterol, bersenam dan berhenti merokok dan minum arak akan membantu mengekalkan ‘tenaga batin’ ke usia tua. Kepentingan hubungan seksual diantara lelaki dan wanita amat penting bagi suami dan isteri untuk menjamin kebahagiaan rumah tangga ke akhir hayat.

Masalah lemah syahwat juga berlaku kepada lelaki berumur walaupun tidak mengidap penyakit kronik seperti diabetis. Ia adalah kerana penurunan paras hormon testosteron disebabkan faktor usia. Ianya boleh diatasi dengan senaman, pemakanan yang lebih tinggi protin, aktiviti seksual yang lebih kerap dan jika perlu terapi gantian hormon.


Mengawal pemakanan untuk mengawal paras glukosa darah yang baik adalah amat penting. Disamping itu senaman mengangkat beban juga boleh meningkatkan paras hormon testosteron dengan lebih cepat. Berhenti merokok juga amat penting menjaga kesihatan seksual kita sehingga ke usia tua. Jika anda mengalami masalah ini, dapatkanlah bantuan dari doktor untuk memulihkan kembali kelelakian anda dan menjaga kebahagian rumah tangga anda.


Sumber ;
Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS, MScAARMMA, FAGE)

No comments:

Post a Comment